Sabtu, 8 Mac 2014

Pesawat MAS Hilang Dari Radar.

Ahli keluarga penumpang pesawat MAS yang hilang menanti dengan tangisan di Lapangan Terbang Beijing, China hari ini. – Gambar Reuters, 8 Mac, 2014.


Malaysia Airlines (MAS) mula menghubungi ahli keluarga terdekat dan anak kapal pesawat MH370 selepas ia terputus hubungan dengan menara kawalan udara awal pagi ini.
"Hati dan doa kami bersama dengan penumpang, anak kapal dan ahli keluarga mereka," kata ketua pengurus eksekutif kumpulan MAS, Ahmad Jauhari, dalam satu kenyataan.
Pesawat itu membawa 239 penumpang dan anak kapal, iaitu 227 penumpang (termasuk dua bayi) dan 12 anak kapal, dan terdiri daripada 13 warganegara berbeza, kata MAS. Menurut agensi berita China, Xinhua, seramai 160 warga China menaiki pesawat tersebut.
Perhubungan radar dengan pesawat MAS MH370 yang hilang pagi ini terputus di udara yang dikawal Vietnam awal pagi ini, lapor Xinhua.
MAS dalam kenyataannya mengesahkan penumpang pesawat tersebut terdiri daripada warganegara China 152 orang termasuk seorang bayi, Malaysia 38 orang, Indonesia 12 orang, Australia 7 orang, Perancis 3 orang, Amerika Syarikat 3 orang termasuk seorang bayi, New Zealand 2 orang, Ukraine 2 orang, CKanada 2 orang, Russia 1 orang, Itali 1 orang, Taiwan 1 orang, Belanda 1 orang dan Austria 1 orang.
Sementara itu, Pemangku Menteri Pengangkuan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menerusi akaun Twitter, menggesa ahli keluarga penumpang dan anak kapal bertenang.
"Kepada ahli keluarga penumpang dalam pesawat, bertenang dan dapatkan maklumat yang sahih. Kami akan maklumkan. Doa untuk semua," tulis beliau.
Pihak berkuasa memulakan operasi mencari dan menyelamat selepas pesawat yang menuju Beijing itu dilaporkan terputus hubungan dengan Menara Kawalan Udara Subang pada 2.40 pagi tadi.
Pesawat B777-200 itu meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 12.31 pagi dan sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi tadi.
"Malaysia Airlines sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang memulakan operasi mencari dan menyelamat untuk mencari pesawat," kata syarikat penerbangan itu.
MAS berkata ia akan menyediakan laporan terkini dari semasa ke semasa. Orang ramai boleh menghubungi 03-7884 1234 untuk sebarang maklumat.
Ahli keluarga penumpang dan anak kapal disarankan berkumpul di Bangunan Sokongan Kemudahan di Zon Sokongan Selatan KLIA. Untuk maklumat, hubungi 03-8787 1269.
Orang ramai juga boleh menghubungi 03-7884 1234 untuk maklumat lanjut.
Beberapa nahas kapal terbang melibatkan MAS berlaku sebelum ini.
Pada 10 Oktober, 2013, dua orang terbunuh, termasuk pembantu juruterbang Marc Joel Bansh, 23, dan penumpang Tan Ah Chai, 96, selepas penerbangan MASwings dari Kota Kinabalu ke Kudat terhempas akibat terlepas landasan ketika mendarat.
Pada 15 September, 1995, 34 orang terbunuh dan 19 terselamat selepas pesawat MAS terhempas berhampiran Tawau. Kemalangan tersebut didapati berpunca daripada juruterbang yang tidak mematuhi prosedur piawaian operasi (SOP).
Kemalangan paling buruk dalam sejarah penerbangan Malaysia adalah di Tanjung Kupang pada 4 Disember, 1977, apabila 100 orang di dalam pesawat MAS terkorban selepas ia dirampas ketika dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Subang.
Beberapa orang kenamaan, termasuk menteri pertanian Datuk Ali Ahmad, pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Mahfuz Khalid dan duta Cuba ke Jepun, Mario García, juga berada di atas pesawat. – 8 Mac, 2014.
p/s : Setakat ini tiada lagi berita sahih diterima berkenaan dengan situasi sebenar pesawat tersebut. Sama-sama kita berdoa penumpang, krew, dan anak kapal selamat.

1 ulasan:

ejulz berkata...

semoga semuanya selamat..

follow sini.. :)